KPR 4063 KAJIAN TINDAKAN (DPLI-UPSI 2022/2023)
KPR 4063 KAJIAN TINDAKAN
BINCANGKAN PERBEZAAN ANTARA MODEL-MODEL KAJIAN TINDAKAN DAN BERIKAN CIRI-CIRI KAJIAN TINDAKAN DALAM PENDIDIKAN
Kajian tindakan mempunyai dua unsur utama iaitu kajian dan tindakan. Peranan dan sumbangan Kajian tindakan dalam membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pentadbir dan guru di sekolah tidak akan dipertikaikan. Ini adalah kerana dapatan kajian akan memberi impak yang positif kepada perubahan yang terancang dan kesannya akan menghasilkan apa yang dikehendaki agar matlamat pendidikan dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, banyak model kajian tindakan telah diperkenalkan oleh pengkaji-pengkaji penyelidikan kajian tindakan. Menurut Calhoun (1993), Kajian tindakan ini juga boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kajian tindakan individu (individual action research), kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research), dan kajian tindakan menyeluruh (school wide action research), iaitu penyelidikan yang melibatkan seluruh staf atau guru bersama konsortium sekolah. Oleh itu antara perbezaan beberapa model kajian tindakan ini ialah:
1. Model kajian tindakan Lewin (1946)- kajian tindakan ini memperlihatkan kitaran atau langkah-langkah (A spiral of step). Kajian tindakan ialah satu kitaran langkah-langkah yang terdiri daripada empat langkah iaitu langkah merancang (Plan), langkah bertindak (Action), langkah memerhati (Observe), dan langkah mereflek (Reflect) terhadap keberkesanan tindakan yang telah dilakukan.
2. Model kajian tindakan Kemmis & McTaggart (1988)- Stephen Kemmis telah bersetuju dengan pendapat Lewin iaitu kajian tindakan ialah satu siri lingkaran (spiral) di mana satu pelan tindakan hasil daripada pemerhatian dan refleksi. Beliau juga telah mengembangkan teori Lewin dalam konteks pendidikan dan menggunakan istilah “educational action research”. Model Kemmis lebih kurang sama dengan Model Lewin yang bersifat lingkaran atau dua kitaran tetapi Kemmis menggabungkan langkah bertindak dan langkah memerhati dengan menjadikan Model Kemmis mempunyai tiga langkah iaitu:
a. Langkah merancang
b. Langkah bertindak dan memerhati
c. Langkah mereflek
3. Model Kajian Tindakan Elliot- Menurut John Elliot (1981) yang mempelopori Kajian Tindakan Bilik Darjah (Classroom Action Research) telah berpendapat bahawa kajian tindakan ialah satu pendekatan penyelidikan yang bertujuan untuk meningkatkan mutu profesionalisme guru. Model ini mempunyai 3 fasa di mana setiap lima langkah perlu di ulangi sebagai satu kitaran hingga mendapatkan hasil dapatan yang memuaskan.
4. Model kajian tindakan Ebbutt- Manakala, menurut David Ebbutt (1985) lingkaran (spiral) bukan satu unsur yang paling penting dalam proses penyelidikan tindakan. Kajian tindakan perlulah mempunyai maklum balas penilaian diantara setiap putaran. Kajian Ebbutt juga dapat dilakukan dalam 3 kaedah iaitu:
a. Idea Umum
b. Peninjauan
c. Perancangan Keseluruhan Ditetapkan
Manakala, ciri-ciri kajian tindakan dalam pendidikan adalah untuk menambahbaik kajian tindakan sehingga menjadi hasil yang memuaskan oleh seseorang guru. Berdasarkan Othman Lebar (2011), kajian tindakan ini adalah lebih kepada kajian untuk penambahbaikan dalam sesuatu bidang yang dikaji yang dilakukan secara langsung oleh penyelidik itu sendiri. Antara ciri utama kajian tindakan adalah seperti berikut:
1. Dapat menyelesaikan masalah sosial- Ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul di dalam isu pendidikan. Hal ini, tidak hairanlah sekiranya kajian ini biasa digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru merancang untuk mengkaji cara pengajarannya di dalam bilik darjah dengan menggunakan beberapa gaya pembelajaran untuk mengenalpasti sama ada cara pengajaran tersebut memberikan impak pada pelajar. Selepas itu, para pelajar di minta untuk menilai tahap keberkesanan gaya pembelajaran yang dilaksanakan tersebut.
2. Untuk Membaiki Keadaan Sosial- Ciri-ciri ini adalah perlu untuk membaiki keadaan semasa bagi responden kajian. Ini melibatkan perubahan tingkah laku pada responden pada akhir kajiannya. Sebagai contoh, sebelum menggunakan bahan bantu mengajar guru mendapati bahawa murid sukar untuk menguasai pengajaran dan pembelajaran. Hal ini, selepas menggunakan bahan bantu mengajar guru mendapati bahawa murid lebih mudah menguasai pengajaran dan pembelajaran.
3. Proses yang berulang-ulang- Ciri kajian ini mestilah berterusan sehingga dapat mengubah tingkah laku yang positif pada diri pelajar tersebut. Kajian tindakan ini merupakan pendekatan penyelidikan yang berterusan terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran dalam jangka masa yang panjang. Sebelum setiap fasa kajian, pendidik akan merumus dan merefleksi tindakannya, menilai kesannya terhadap pembelajaran pelajar dan mempertimbangkan penambahbaikan yang diperlukan untuk meningkatkan keberkesanan proses pendidikan.
Kesimpulannya, kajian tindakan dalam penyelidikan para guru ini merupakan penyelidikan yang pendek dan singkat ianya sangat sesuai untuk guru menambahbaik perkembangan profesionalisme sebagai seorang guru. Maka jelaslah, kajian ini memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum dengan persediaan yang lengkap akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lancar.